Followers

Kota Siputeh diisytihar kosong

Sumber:http://malaysiakini.com/news/117567

Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil
rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker
selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009.

"Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.

Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.

SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya.

"Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat,"
katanya.

Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.

Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.

Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. - Bernama

MSD didakwa gagal program pelajar M'sia di Mesir

sumber: http://malaysiakini.com/news/117512

Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat membantah tindakan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Kaherah yang didakwa telah menggagalkan program pembacaan hadis Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al Azhar (ACC) bulan lalu.

Nasrudin mendakwa, pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang Malaysia," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, katanya, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Nasruddin berkata, majlis perasmian program tersebut oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumuah, terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang di situ.

Katanya, selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi di Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jawish, Syeikh Asyraf dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Nasrudin menyifatkan tindakan MSD itu sebagai taktik usang untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Beliau juga mempersoalkan hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Berikutan tindakan MSD itu, katanya, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

"Paling ringan, Dewan Pemuda PAS mendesak supaya Prof Dr Jamil diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa," katanya.

Nasrudin berkata, menuduh PMRAm sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir.

Malah, dakwanya, ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.
Category: 0 ulasan

Seminar Kukuhkan PAS & PR, 5 Resolusi Dicapai.



KUALA LUMPUR, 7 Nov: Selepas seminar berakhir, PAS yakin parti itu akan semakin kuat dan bertekad akan lebih proaktif dalam memperkukuhkan parti dan juga Pakatan Rakyat. PAS memandang serius dan akan mengambil tindakan segera di peringkat dalaman parti terhadap lima resolusi yang dicapai dalam seminar pemerkasaan parti yang diadakan siang tadi.

Seminar politik memperkasakan PAS yang dihadiri oleh peserta daripada seluruh negara kelmarin meluluskan lima rosolusi hasil perbahasan daripada perwakilan dari setiap negeri, sayap-sayap parti serta kelab penyokong PAS.

5 Resolusi itu ialah:

pertama adalah, PAS secara lebih proaktif akan memperkukuh Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Kedua: PAS melalui Dewan Pemuda dan Nisa' juga akan berusaha menarik kembali sokongan pengundi muda yang dilihat sedikit terjejas disebabkan beberapa faktor agar memberi undi mereka kepada PAS.

Ketiga: Selain itu, PAS juga mahu bertindak lebih agresif untuk mengaktifkan kelab penyokong PAS di setiap kawasan terutama di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Islam yang ramai.
Keempat pula, PAS bersetuju untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi selain menguatkan parti di peringkat akar umbi.

Kelima: adalah menyediakan satu pelan tindakan untuk menguatkan parti antaranya memperkasakan kempen nasional iaitu PAS For All.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan seminar sehari itu sebagai berjaya apabila seluruh perwakilan menggunakan kesempatan yang ada untuk melontarkan pandangan dan kritikan untuk meningkatkan prestasi parti.

Bercakap dalam sidang media selepas selesai seminar berkenaan, Abdul Hadi turut berkata, seminar yang diadakan itu membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka dan demokratik apabila membenarkan segala kritikan dilontarkan. Abdul Hadi turut mengulangi pendiriannya untuk memperkukuh kedudukan parti bersama Pakatan Rakyat bagi menghadapi segala cabaran yang akan datang.

Seminar yang dihadiri lebih 1,000 peserta dari seluruh negara itu mengundang dua tokoh akademik sebagai ahli panel iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti. (Sumber Harakah/2MA)
Category: 0 ulasan